| · Portal |
Help
Search
Members
Calendar
|
| Welcome Guest ( Log In | Register ) | Resend Validation Email |
| Welcome to NashaAziz Forum. We hope you enjoy your visit. You're currently viewing our forum as a guest. This means you are limited to certain areas of the board and there are some features you can't use. If you join our community, you'll be able to access member-only sections, and use many member-only features such as customizing your profile, sending personal messages, and voting in polls. Registration is simple, fast, and completely free. Join our community! If you're already a member please log in to your account to access all of our features: |
![]() ![]() ![]() |
| syd |
Posted: Jul 1 2006, 05:49 PM
|
|
Administrator Group: Admin Posts: 1,159 Member No.: 1 Joined: 5-October 05 |
Lantai T. Pinkie dari pentas ke layar kaca
SATU ketika dulu pementasan teater hanya dapat ditonton secara langsung di panggung. Ruang waktu pementasannya pula terhad antara tiga hingga 10 pementasan manakala khalayak penonton pula pada lingkungan mereka yang benar-benar meminati bidang seni tersebut. Namun, perubahan masa dan persepsi serta perkembangan teater yang semakin dekat dengan masyarakat secara tidak langsung memberi ruang genre ini beralih arah. Teater Alang Retak Seribu karya Seniman Negara Datuk Syed Alwi Syed Hassan terbitan Istana Budaya pernah dirakam secara langsung dan disiarkan di ntv7. Ia mendapat sambutan menggalakkan bagi peminat yang tidak berpeluang menjejakkan kaki ke Istana Budaya. Kini, giliran karya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said pula memenuhi permintaan itu apabila Muzikal Lantai T. Pinkie yang dipentaskan di Istana Budaya pada 28 April hingga 7 Mei lalu disiarkan di televisyen. Teater arahan Rosminah Mohd. Tahir yang diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) dan CTRA Production diberi penghormatan untuk disiarkan dalam dua episod di RTM1. Episod pertama akan disiarkan pada 11 Jun (malam ini) manakala episod dua pada 12 Jun, pukul 9 malam. Menurut Penerbit Muzikal Lantai T. Pinkie, Siti Rohayah Attan, tayangan tersebut adalah bukti jalinan kerjasama antara Kementerian Penerangan dengan Badan Bukan Kerajaan (NGO's) seperti PPWM dan syarikat penerbitan swasta seperti CTRA Production. “Peluang ini juga pasti akan direbut oleh semua penonton terutamanya yang tidak berkesempatan menontonnya semasa pementasan di Istana Budaya, baru-baru ini,” tegasnya yang membariskan artis terkenal seperti Nasha Aziz, Jalaluddin Hassan, Azizah Mahzan, Vanidah Imran, Abby Abadi dan Soong Ai Ling sebagai pelakon utama. Sebagai sebuah karya yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara, Siti Rohayah amat berbangga kerana karya yang dihasilkan hampir 10 tahun lalu itu mempunyai nyawa yang panjang. Ini berlaku kerana banyak pihak yang ingin melihat sebuah karya hebat seperti Lantai T. Pinkie terus hidup segar dalam fikiran masyarakat negara ini tanpa mengira bangsa dan status sosial mereka. Ini dibuktikan apabila kalangan 10,000 penonton yang menyaksikan persembahan selama 10 malam itu terdiri daripada berbilang kaum. Secara tidak langsung strategi beliau yang meletakkan pelakon bukan Melayu seperti Soong Ai Ling dan koreografer terkenal, Anthony Meh serta Kumpulan Dua Space Dance Theatre untuk menarik minat penonton Cina menonton teater tersebut telah tercapai. “Memang ada perbezaan dari segi kepuasan apabila menonton di layar kaca berbanding secara langsung di panggung, namun itu adalah satu cara terbaik yang mampu dilakukan bagi memartabatkan teater tanah air. “Sekurang-kurangnya kita tidak melihat teater hanya satu sisi iaitu teater untuk orang teater. Sebaliknya, apabila televisyen mengambil alih, persembahan itu telah menjadi milik semua penonton,” tambah Siti Rohayah. Penonton RTM1 tidak ‘ditipu’ apabila menyaksikan teater yang pernah dipentaskan tiga kali sebelum ini oleh produksi dan pengarah yang sama kerana ia dirakam secara langsung dari Panggung Sari, Istana Budaya. Tidak ada penyuntingan yang dilakukan bagi rakaman tersebut. Ia pasti berbeza dengan drama biasa yang disiarkan di televisyen. Menyentuh mengenai kemungkinan teater tersebut menjelajah luar kota, Siti Rohayah menyatakan, peminat Muzikal Lantai T. Pinkie berkemungkinan mempunyai peluang yang cerah apabila teater itu akan bergerak ke beberapa negeri sebelum hujung tahun ini. Antara yang telah dikenal pasti ialah di Taman Seni Budaya, Ipoh, Perak pada 4 - 6 Ogos manakala di Kuala Lumpur pada 11-13 Ogos. Lain-lain destinasi yang masih dalam perancangan ialah Pulau Pinang dan Pahang. “Mementaskan sebuah teater besar seperti Muzikal Lantai T. Pinkie kosnya sama seperti membikin sebuah filem. Kita membelanjakan hampir RM700,000 untuk pembayaran bersih ketika pementasan di Istana Budaya sedangkan pulangannya amat kecil. Bagi pementasan luar Kuala Lumpur, kos minimum ialah RM300,000. “Justeru, tanpa penajaan dan bantuan kewangan daripada pihak yang berminat, harapan tersebut mungkin tidak akan tercapai apatah lagi pementasan di luar Kuala Lumpur biasanya diadakan secara percuma,” tegasnya. Lantai T. Pinkie mengisahkan hidup lara perempuan penari joget di Singapura zaman 50-an, selepas Perang Dunia Kedua. Kehidupan mereka dengan melayani lelaki yang berkunjung ke kelab. T. Pinkie atau nama sebenarnya Tengku Seindahkuno adalah antara perempuan yang paling cantik dan terkenal di Bunga Joget Moden, menjadi buruan lelaki termasuklah pemain akordian, Muhairi Tirus. T. Pinkie, Nyai Sunarti, Siti Udaya, Musalmah Jiing, Puteh Su Abdullah, Jongkidin Jaroi, Muhairi dan S. Diman adalah watak-watak yang mewakili zaman itu. Lantai T. Pinkie juga dilakonkan oleh Zuhairi Ibrahim, Safura Ya'cob, Zaifri Husin, Azhan Abd. Rani, Abu Bakar Sulaiman, Zaefrul Nadzarine Nordin, Rozaimi Rajab, Dua Space Dance Theatre dan artis Istana Budaya. |
![]() |
![]() ![]() ![]() |