View Full Version: Kelainan Lantai T.Pinkie

NashaAziz Forum > Nasha News Archive > Kelainan Lantai T.Pinkie


Title: Kelainan Lantai T.Pinkie
Description: harian metro - 20.04.06


eta0810 - April 20, 2006 04:23 AM (GMT)
Kelainan Lantai T.Pinkie

Oleh Ellyna Ali
elly@hmetro.com.my

Sesudah empat kali dipentaskan sebelum ini, versi 2006 lebih artistik menerusi ekspresi lakonan, gerak tari dan muzik

MEMENTASKAN semula beberapa naskhah teater Melayu bukanlah bermakna kita sudah ketandusan karya hebat.

Hakikatnya, naskhah klasik sedemikian masih punya tempat di kalangan khalayak pencinta teater Melayu kita.

Buktinya naskhah teater Lantai T. Pinkie yang diangkat daripada karya Sasterawan Negara Datuk A Samad Said.

Kisah lara seorang penari wanita joget bernama T. Pinkie dalam teater ini sering dinantikan penonton biarpun ia sudah dipentaskan empat kali sebelum ini.

Bermula dengan pementasan pertama di Singapura pada 5 dan 6 Jun 1996, Lantai T. Pinkie kemudian dipersembahkan pula di Auditorium Utama Kompleks Penerangan Malaysia (Matic) pada 15 hingga 21 Mac 1997.

Sambutan di luar dugaan menyebabkan pementasan teater Lantai T Pinkie ini diulang sekali lagi pada Mei 1997 di tempat yang sama.

Pengarahnya tetap Rosminah Tahir. Begitu juga dengan pelakonnya yang dibarisi Tiara Jacquelina (T. Pinkie), Erma Fatima (Nyai Sunarti), Hani Mohsin (Muhairi Muda), Umie Aida (Musalmah) dan Juhara Ayob (Siti Udaya) pada ketika itu.

Pada Ogos 1997, Lantai T. Pinkie sekali lagi dipentaskan di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di bawah arahan Rosminah Tahir.

Manakala barisan pelakonnya bertukar kepada Juhara Ayob (T. Pinkie), Shariza Mahmud (Nyai Sunarti), Zuhairi Ibrahim (Muhairi Muda), Vanidah Imran (Musalmah) dan Jasmin Hamid (Siti Udaya).

Barangkali agak keterlaluan meletakkan Lantai T. Pinkie sebaris dengan karya teater muzikal barat yang hebat seperti The Cats, Phantom Of The Opera, Fame The Musical dan Saturday Nite Fever- The Musical.

Namun, Lantai T . Pinkie tetap punya keistimewaannya sendiri yang mampu mengimbas semangat dan nuansa kehidupan dekad lima puluhan ketika Malaya masih Semenanjung Tanah Melayu dan ketika Singapura dalam wilayah Malaya.

Begitu juga dengan wajah serta falsafah terkandung di dalam kehidupan bangsa yang ketika itu terlalu getir dan mencabar.

Mungkin sebab inilah yang mendorong Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM) menerbitkan semula Lantai T. Pinkie pada tahun ini selepas berbuat demikian pada 1997.

Bersama CTRA Production dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan serta Istana Budaya (IB), teater Lantai T. Pinkie versi 2006 akan memulakan pementasannya di Panggung Sari, Istana Budaya pada 28 April hingga 7 Mei ini, bermula jam 8.30 malam.

Versi Lantai T. Pinkie 2006 kali ini bagaimanapun cuba diberikan kelainan apabila diketengahkan dalam bentuk muzikal.

Malah ia turut menampilkan barisan pelakon wajah baru terdiri daripada Nasha Aziz, Soong Ai Ling, Abby Abadi, Jalaluddin Hassan, Azizah Mahzan, Azhan Abd Rani serta Zaefrul Nadzarine Nordin.

Manakala barisan pelakon wajah lama yang dikekalkan pula ialah Zuhairi Ibrahim, Vanidah Imran dan Zaifri Hussin.

Perubahan serta kelainan yang ditampilkan dalam teater muzikal Lantai T. Pinkie juga terserlah menerusi olahan teksnya yang cuba menggambarkan kehidupan perempuan joget T. Pinkie semata-mata pada zaman 50-an itu.

Bukan lagi satu imbasan yang diceritakan watak Loirin Sindu yang mewakili zaman ini mengenai kisah lampau T. Pinkie yang penuh duka itu.

Malah, beberapa monolog panjang turut diubah menjadi dialog pendek serta ditukar kepada bentuk lagu mahupun tarian.

Sewaktu berpeluang menyaksikan latihan pementasannya yang sudahpun bermula sejak satu setengah bulan yang lalu, Lantai T.Pinkie versi muzikal ini ternyata punya kekuatannya sendiri.

Apatah lagi bila didokong muzik gubahan Pak Ngah, koreografi Anthony Teh serta penari dari Dua Space Theatre dan Artistana.

Menyaksikan Nasha beraksi dalam latihan ini juga satu pengalaman baru. Nyata model dan pelakon berbakat ini cukup komited dengan dunia teater yang diceburinya.

Nasha bagaimanapun mengakui berlakon teater bukan satu tugas mudah kerana ia memerlukannya bertutur dalam bahasa sastera yang tersusun dan teratur.

“Pada masa sama juga, saya harus menguasai serta menggunakan ruang pentas yang ada. Juga melakukan gerakan tubuh daripada koreografi yang sudah pun dicetuskan mengikut rentak lagu.

“Namun selepas hampir tiga minggu lebih menghayati watak T. Pinkie ini, saya sudah pun memperoleh keselesaan.

“Makin saya mendekati plot serta jalan cerita Lantai T. Pinkie ini, semakin dalam juga rasa kecintaan yang timbul terhadap naskhah Pak Samad ini.

“Malah secara peribadi, saya juga berasakan T. Pinkie adalah satu watak yang sangat menarik kerana dia sentiasa cuba mencari kekuatan dan keyakinan diri walaupun hidupnya dikelilingi dunia joget yang sentiasa cuba meragut kesucian dirinya,” katanya.

Sementara itu, Vanidah Imran yang sebelum ini pernah membawakan watak Musalmah dalam teater Lantai T. Pinkie terdahulu pula berkata, dia sememangnya berharap untuk berlakon dalam teater Lantai T. Pinkie versi muzikal itu kerana terlalu tertarik dengan skrip serta jalan cerita naskhah karya Pak Samad itu.

“Malah saya juga memang mengharapkan diberikan watak sama iaitu Musalmah kerana selama ini saya sering diberikan watak ala Perempuan Melayu Terakhir.

“Jarang orang beri saya watak sebagai perempuan ‘gedik’ seperti Musalmah. Namun, kalau dulu watak Musalmah hanya dihiasi dialog semata-mata, kini Musalmah juga perlu melakukan lebih daripada itu iaitu menyanyi,” katanya.

Sementara itu, Rosminah Tahir yang sekali lagi dipertanggungjawabkan mengarah Lantai T. Pinkie dalam bentuk muzikal mempunyai sebab konkrit mengapa perubahan itu perlu.

Katanya, tanggung jawab menterjemah Lantai T. Pinkie dalam bentuk karya sastera lisan sudahpun dilakukan sebelum ini.

“Kini, saya cuba mengembangkan pula Lantai T. Pinkie dengan lebih artistik menerusi ekspresi lakonan, gerak tari dan muzik yang digabungkan dalam bentuk persembahan muzikal.

“Saya bersyukur kerana Datuk A Samad Said atau Pak Samad bersetuju apabila saya mengemukakan cadangan untuk menukar corak persembahan teater Lantai T. Pinkie ini,” katanya.

Menerusi kebebasan diberikan Pak Samad, Rosminah cuba membawa interpretasinya tersendiri terhadap cara penyampaian yang lebih berterus-terang.

“Bukanlah saya ingin mengatakan penyampaian Lantai T. Pinkie sebelum ini rumit dan sukar tetapi saya mahu ia mudah sampai kepada semua golongan.

“Disebabkan itu juga saya cuba menyampaikan teater ini dalam bentuk muzikal. Mungkin cara ini nampak mudah bagi segelintir orang tetapi ia sebenarnya sangat mencabar kerana lebih menuntut kerja secara berkumpulan. Lebih-lebih lagi apabila elemen muzik dan gerak tari digabungkan bersama dengan lakonan,” katanya.




* Hosted for free by InvisionFree