|
Kehadapan semua umat Islam Malaysia, Barangkali kalian tidak mengenali saya. Barangkali juga saya tidak punya autoriti rasmi untuk dikenali dan nama saya dilonjakkan dikhalayak atau siapa saya untuk menyatakan sesuatu kepada kalian hingga memaksa kalian membaca dan meneliti tulisan saya.
Apa pun saya pohon untuk menukilkan sesuatu atas kes yang banyak merobek hati dan perasaan umat Islam. Apa lagi kalau bukan kes nekad seorang perempuan Melayu Islam yang cuba menunjuk kuat menukar butiran nama di Mykad. Ya, kerana cinta Azlina Jailani bukan sahaja menukar agama tapi juga turut nekad menukar nama kepada lina Joy.
Siapa dia Azlina Jailani yang begitu tergamak menghiris hati dan perasaan umat Islam Malaysia? Dendam apa yang tertusuk kemas di hati keras perempuan lemah lembut ini hingga tergamak menyinggung umat Islam Malaysia. Persoalannya, mungkin Azlina Jailani gagal menukar nama di Mykad tapi yang jelas, terang lagi bersuluh perempuan Melayu Islam ini sudah pun murtad.
Saya mengenali Azlina Jailani ketika saya mengikuti kuliah Mahkamah Dan Pentadbirannya Di Malaysia dalam semester akhir KIAS, Nilam puri pada tahun 2005. Hati saya membengkak risau dan seriau ketika pensyarah saya ketika itu meyebut kes ini. 3 tahun saya menanti dalam debar keputusan rayuan kerana kes ini akan dijadikan kes contoh untuk membenarkan lebih banyak kes murtad diizinkan. Barangkali kini hati saya sedikit lega bila Azlina dihalang murtad di Mykad kepada lina Joy tapi fakta tersorak yang kian kita lupakan ialah Azlina sudah pun murtad.
Kalau dahulu perang dilancarkan kepada ahli riddah oleh kerajaan Al-Siddiq Abu Bakar lantaran golongan murtad yang cuba mengingkari kefarduan zakat tapi hari ini apa jadi dengan kes terbalik bila si Azlina Murtad tanpa segan silu dan beraninya memijak maruah dan kesucian agama Islam dengan cubaan nekad mengiklankan secara rasmi kemurtadan. Apa jadi dengan hukum dan pelaksanaan undang-undang negara? Ia tidak seperti yang saya belajar, tidak sama dengan apa yang disarankan dalam hukum Islam, juga tersasar daripada panduan sirah Rasulullah dan khilafah Islam malah ia amat-amat bercanggah ajaran Islam.
Saya yakin keputusan menolak rayuan Azlina tidak akan merencatkan perancangan dan cubaan terus pihak-pihak tertentu dibelakang Azlina Jailani atau akan ada selepas ini Azlina 2, 3 dan seterusnya hingga MyKad berjaya dimurtadkan. Persoalannya apakah kita tegar menunggu kepeutusan mahkamah dan bersorak gembira bila rayuan ditolak hingga melupakan tanggungjawab fardu Muslim untuk memahamkan umat Islam tentang agama?
Terbaru Dr Chandra Muzaffar dalam akhbar The Star hari ini berkata: Quran tidak melarang atau menghukum seseorang kerana meninggalkan agamanya . Inilah faham songsang pluralisme yang kian bercambah dalam diam di Malaysia.
Pada saya kenyataan ini sebenarnya menunjukkan betapa tidak fahamnya umat Islam Malaysia tentang agama Islam itu sendiri. Kesilapan besar umat Islam hari ini adalah bila kita cuba memisahkan agama dan kehidupan, memandang agama hanyalah untuk mereka yang berkupiah dan bertudung labuh serta hukum agama hanyalah untuk kes kahwin dan kematian sahaja.
Terkadang saya perlu akui kesilapan agamawan @ ustaz dalam memainkan peranan dalam memberikan kefahaman kepada masyarakat. Memberikan kefahaman tidak sama levelnya dengan memberikan ilmu. Mengajar tidak sama caranya dengan memberikan peringatan.
Terkadang juga saya perlu akui kesilapan sekian ramai agamawan @ ustaz yang hanya sibuk bertelagah soal furuk khilafiah hingga meleupakan soal persoalan asas Islam iaitu aqidah sahihah. Bukti dekat kita banyak bertelagah soal doa qunut, soal menyapu muka selepas solat dan pelbagai soal remeh yang termasuk dalam perbincangan khilaf hingga lupa untuk membuat kajian soal menangkis cubaan untuk membawakan pluralisme @ sekularisme @ cubaan fremessionary untuk memurtadkan umat Islam di Malaysia.
Ada ketikanya saya tersenyum sendiri bila mengenangkan golongan profesional Islam yang agak berani dan langsung tidak warak dalam masuk campur dalam perbahasan ilmiah hukum Islam hingga melibatkan soal khilaf. Kalau dahulu para sahabat Nabi amat teliti, warak dan bersifat tawaduk dengan ilmu masing-masing dalam mengeluarkan pandangan dan fatwa tapi hari ini siapa sahaja boleh mengeluarkan fatwa malah berlumba-lumba tunjuk pandai dan tampak seoalah-olah mengiklankan diri alim. apalah sangat kalau nak dikejarkan gelaran protaz atau apa jua gelaran hingga menampakkan kehebatan berilmu sedangkan umat kian banyak murtad. Tiada nilai pada saya ilmu yang terzahir pada perkara khilaf sedangkan pokok persoalan asas akidah Islam kian ditinggalkan dan dikesampingkan.
Justeru adalah lebih baik andai semua pihak sedar dan mampu bangkit untuk memberikan kefahaman kepada setiap lapisan generasi dalam memberikan suntikan yakin pada yang bernama aqidah Islamiah. Alangkah baiknya andai setiap post dalam sosio-masyarakat samada kerajaan, parti, pertubuhan kebajian, NGO's, jiran tetangga, institusi kekeluargaan, institusi pendidikan malah setiap individu muslim mampu memainkan peranan menyuburkan kenbali ruh Islam dalam jiwa dan hati umat Islam.
mungkin saya dikata orang hanya boleh beridealis tanpa masuk ke medan tapi saya mengharapkan idealisnya pandangan saya dalam soal ini akan dikira sebagai jihad dalam menentang kemaraan murtad. Anda bagaimana? Masih mamai atau pernahkah kalian lenguhkan otak berfikir soal ini atau kalian masih lagi gembira meraikan kemenangan? Saya sekadar bertanya takut-takut suatu hari yang pasti tiba nanti kita tiada jawapan dihadapan Allah SWT kiranya ditanya apa sumbangan kita untuk agama?
Namun apa pun saya sedar setelunjuk jari menunding kehadapan empat yang lain kembali kepada diri saya sendiri. Siapalah saya untuk menyatakan kesilapan orang lain tapi apa yang saya harapkan segala yang saya katakan tidak dipandang sebagai celaan tapi hati kecil saya menukil pesan atas asas untuk sama-sama mengubah pandangan dan membetulkan keadaan.
Salam Dari Ardil kinanah
|